KUALA LUMPUR: Kaedah pemberian baucar perlu diketengahkan semula dalam membantu meringankan beban rakyat ketika pandemik COVID-19.

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, kaedah itu dilihat berkesan dalam mengurangkan komitmen rakyat, terutama golongan B40 dan M40.

"Kita menyebut tentang satu inisiatif baucar. Kalau dulu golongan pelajar tidak dapat beli buku, maka kerajaan beri baucar buku, maka mereka boleh beli buku.

"Jadi pemberian baucar, reward system untuk mereka dapatkan rebat utiliti, sewa rumah, makanan di pasar raya, tidak perlu bagi duit tetapi bagi baucar," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Selasa.

Dalam pada itu, jelas Dr Ahmed Razman lagi, jalinan kerjasama di antara kerajaan dan sektor swasta mampu menjayakan inisiatif itu.

"Syarikat-syarikat utiliti, restoran makanan, jika mereka menerima baucar ini mereka simpan.

"Apabila nak bayar cukai kepada kerajaan kemudian, contohnya kena bayar cukai RM1 juta, sebab ada baucar ini, mereka boleh bayar mungkin cukai separuh iaitu RM500,000.

"Dalam aspek ini, urus niaga transaksi barangan dan perkhidmatan makin lagi berlaku di antara rakyat dan peniaga.

"Itu penting untuk pastikan kualiti hidup golongan ini tidak terjejas dan kerajaan tidak perlu meminjam menyalurkan bantuan tunai," katanya lagi.